Assalamualaikum...Hmm...rasanya sudah agak lama aku tak menjengah di sini. Rasa tak ada mood saja...
By teh way, untuk makluman semua, ketiadaan mood aku sejak kebelakangan ni sebab aku masih bersedih di atas kembalinya ayah tercinta Ismail bin Nik Din @ Mydin ke rahmatullah pada 9 September 2012 bersamaan 22 Syawal 1433 H sekitar jam 10.30 pagi.
Apa perasaan aku semasa mendapat perkhabaran tentang ketiadaan ayah? Aku agak terkejut namun aku redha. Sebab bagi aku ayah telah agak lama menderita sakit. kalau tidak silap aku sejak tahun 2011 lagi ayah sudah beberapa kali keluar dan masuk hospital. Yang terbaru ayah masuk hospital adalah beberapa hari sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal lalu. Dengan penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah rendah serta buah pinggang, pada usia ayah yang menghampiri 84 tahun, kesemua penyakit tersebut sebenarnya makin melemahkan ayah. Tidak banyak yang dapat Doktor lakukan. Kerana kalau dibuat rawatan bagi penyakit kencing manis, akan ada pula effect kepada jantung, dan kalau dibuat rawatan untuk buah pinggang, tekanan darah ayah dan jantung juga akan menghadapi masalah...
Apapun, kami sekeluarga redha walaupun bersedih dengan pemergian ayah. Dan lagi, yang agak menyedihkan aku lagi...aku kini seolah-olah sebatang kara. Walau ada suami dan saudara mara yang lain yang sentiasa ada dan menyokong kami satu sama lain, tapi bila tiada ketua keluarga, orang yang paling berpengalaman dalam keluarga, orang tua yang harus kita ikut panduan dan nasihatnya...aku rasa sebahagian hidup aku agak kosong...tiada lagi tempat untuk kami anak-anak dan golongan muda ini untuk mendapatkan ansihat dan pandangan...
Ayah...banyak kenangan pahit manis kami bersamamu. Apatah lagi kami anak-anak gadismu. Yang pernah suatu masa dahulu cuba menunaikan segala impian dan harapanmu. Anak-anak gadismu yang telah betah hidup dalam pantauanmu. Banyak sungguh kenangan yang kau tinggalkan untuk kami, sebagaimana arwah emak Chek Jahara binti Yaacob.
Bagi aku sendiri, dalam usia yang bakal menjangkau 40 tahun tidak berapa lama lagi, hidup dan menjadi zuriatmu penuh warna warni. Banyak keringat, wang ringgit dan tenaga yang kau curahkan dalam membesarkan aku dan saudara-saudaraku. Sukar untuk kami membalasnya ayah biar dengan segunung emas dan intan sekalipun. Budi dan jasamu ayah, akan kami kenang sehingga terputusnya nafas ini. Hanya Allah SWT yang mampu membalaskannya...
Doaku hanya untukmu emak dan ayah. Dalam setiap deruan nafas dan kerdipan mata ini, kenangan bersama kalian tidak akan pernah padam walau seketika. Kalian insan yang paling kusanjung, jasa-jasamu ku bawa mati.
Terima kasih untuk kasih sayang, wang ringgit, pengorbanan dan jasamu selama 38 tahun 6 bulan lebih yang telah engkau sumbangkan dalam membesar dan mendidik aku sehingga hari ini. Aku hanya mampu berdoa untuk kesejahteraan ayah di sana. Yang pasti, aku tidak akan pernah menoktahkan ingatanku pada kalian sampai bila-bila, sehingga nafas dan jasadku bercerai di ambil kembali olehNya.
Ya Allah Ya tuhanku, peliharalah kedua ibu dan bapaku sebagaimana mereka menjaga aku sewaktu aku kecil dahulu. Tempatkanlah mereka disamping hamba-hambaMu yang beriman dan beramal soleh. Permudahkanlah mereka di alam sana dan rahmatilah mereka Ya Allah...Amin Ya Rabbal Alamin
No comments:
Post a Comment