03 July, 2012

Tutup Atau Balut Aurat?


Aku terbaca artikel ni dalam salah satu post member FB...sebab aku rasa sekarang ni memang ramai pun antara kita yang berkeadaan camni...semoga menjadi renungan utk kita semua...
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Apabila seorang wanita itu menjaga maruahnya, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, dan mentaati suami, maka, Allah permudahkan jalannya untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang diinginkannya." - Riwayat Ahmad

Wanita adalah kaum yang amat dilindungi dalam Islam dan wanita amat istimewa dalam agama Islam itu sendiri. Martabat dan maruah wanita amat dititikberatkan sehingga mendapat keutamaan berganda sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya mengenai manusia yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu."

Itu merupakan satu bukti bahawa wanita adalah golongan yang diangkat nilainya dalam Islam berbanding lelaki. Bukan bermakna golongan lelaki tidak mempunyai kepentingan dalam Islam, tetapi wanita umpama permata yang sangat bernilai yang mana wanita juga sering disebut sebagai perhiasan dunia. Namun, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Maka, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyeru golongan wanita untuk menjaga peribadi dan menjadikan keperibadian itu sebagai landasan kehidupan dunia.

Wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan kerana itu boleh menjadi seorang isteri, kekasih, dan teman kepada suami serta menjadi ibu dan rakan kepada anak-anak. Apabila suami menjadi ketua bagi keluarga, si isteri pula akan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga di samping sentiasa berada di sisi suami sebagai penyokong paling kuat. Wanita sebagai satu ciptaan Yang Maha Esa yang dikurniakan sikap lemah-lembut namun sebaliknya, wanita boleh berperanan sehingga mampu untuk menggoncang dunia.


Para pembaca pasti mengetahui akan kisah Yasir dan Sumayyah dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Perjalanan hidup pasangan suami isteri ini telah banyak digarap dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai bahan bacaan mahupun sebagai kisah animasi yang menggambarkan suasana kehidupan Islam pada zaman mereka. Mereka rela berkorban nyawa demi mempertahankan agama Islam sehingga dijanjikan tempat di syurga Allah kelak. Malah, Sumayyah turut digelar sebagai wanita yang mampu menggoncang dunia dengan pengorbanan yang telah beliau lakukan meski pun terpaksa menyaksikan kematian suami dan anak di hadapan mata.

Wanita sedemikianlah yang perlu dijadikan contoh dan idola dalam kehidupan. Andai sahaja ingin menjadikan wanita-wanita terkenal dunia sebagai sumber refleksi diri, haruslah tidak melampaui batas kehidupan. Aspek keperibadian perlulah menjadi keutamaan kerana aspek ini merupakan cerminan keseluruhan setiap individu. Meski cantik menawan, andai aspek keperibadian diabaikan maka kecantikan itu tidak mempunyai nilai yang baik.

Seharusnya idola bagi setiap individu muslim haruslah daripada masyarakat Islam itu sendiri. Andai lelaki, haruslah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Demikialah seorang wanita muslim, maka adalah tidak wajar jika beliau sendiri kurang mengaplikasikan ajaran serta cara hidup seorang muslimah dalam kehidupan.

Apabila diajukan persoalan mengenai kewajipan menutup aurat, sesetengah wanita muslim bijak mengeluarkan hujah masing-masing. Namun, hujah semata-mata tidak akan memberi makna jika diri sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh,seorang wanita akan memberi alasan bahawa seru belum sampai untuk dirinya memakai tudung dan akan dihujahkan juga bahawa tidak wujud prinsip paksaan dalam Islam. Bagaimana pula jika seru kematian terlebih dahulu memanggil diri sebelum seru untuk menutup aurat itu menjengah?

Menutup aurat juga tidak semestinya memakai tudung, waima memakai selimut yang melindungi dan menutup bahagian tubuh yang wajib ditutup juga sudah di anggap menutup aurat dengan sempurna. Segelintir wanita muslim juga memberikan alasan tidak tahu untuk menggayakan tudung apabila ditanya mengapa mereka tidak menutup aurat (rambut) sedangkan Islam tidak menggariskan sebarang syarat untuk menggayakan tudung melainkan syarat bahawa tudung yang dipakai mestilah menutup bahagian dada dan tidak terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk leher.

Kini, terdapat wanita yang memakai tudung tetapi bahagian tubuh yang lain dibiar terdedah. Sebagai contoh, tudung yang dipakai diangkat tinggi sehingga menampakkan dada agar kelihatan seksi dan menggoda serta kain yang terbelah sehingga menampakkan betis dan peha. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka""
(Surah An-nur ayat 31)

Justeru, pemakaian tudung sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam yang telah menggariskan panduan penutupan aurat yang hanya boleh memperlihatkan telapak tangan dan wajah bagi wanita.

Akhir-akhir ini, ramai juga yang berpakaian 'membungkus aurat' dan bukannya menutup aurat. Ini kerana ramai wanita muslimah memakai pakaian yang menutup aurat tetapi mengikut bentuk badan seperti jeans dan blouse yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Pemakaian handsock dengan T-shirt berlengan pendek juga telah menjadi satu trend dalam kalangan wanita muslim. Inilah yang dikatakan sebagai membungkus aurat walau pada zahirnya aurat itu sudah dihalang daripada pandangan para ajnabi.

Dalil lain yang menunjukkan bahawa hanya bahagian wajah dan tapak tangan sahaja yang boleh didedahkan kepada golongan ajnabi seorang muslimah ialah sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya.Rasulullah s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda yang bermaksud,

"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya"
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Pemakaian tudung yang tidak menepati syarak sememangnya sangat ditegah dalam Islam dan Allah menyediakan hukuman untuk setiap daripadanya. Bagi pakaian yang mendedahkan dada, wanita itu akan digantung di atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka. Manakala paha dan betis yang sengaja didedahkan itu pula akan menjadi daging panggang dan dibakar api neraka. Astaghfirullah... pedihnya tidak tergambar.

Hari ini kita melihat wanita dijadikan sebagai cagaran utama dalam perkembangan pelbagai bidang yang majoritinya tidak bermodalkan faedah dan manfaat kepada wanita itu sendiri. Dalam pembangunan industry seni tanahair seperti perfileman dan nyanyian contohnya, wanita dijadikan sebagai tarikan utama dengan penampilan yang mendedahkan aurat yang seharusnya hanya didedahkan kepada individu tertentu sahaja seperti ibu bapa, suami, anak-anak serta adik-beradik.

Bukan sahaja berpenampilan tidak sopan, sesetengah filem juga menjadikan wanita sebagai pelakon bagi watak tidak bermoral seperti pelacur serta pekerja di kelab malam. Situasi sedemikian bukan sahaja boleh ditonton dalam filem-filem antarabangsa malahan filem dan drama tanahair turut memaparkan adegan-adegan tersebut. Aksi-aksi erotik, lucah dan mengghairahkan yang dipaparkan oleh para pelakon wanita contohnya, menjadi tarikan utama kepada para penonton.

Tindakan pengarah-pengarah filem bertaraf antarabangsa yang banyak mengetengahkan golongan wanita sebagai tarikan dalam garapan filem mahupun drama mereka kini telah menjadi ikutan kepada beberapa penggiat seni perfileman tanahair. Malah, ada antara filem-filem tempatan yang memaparkan aksi-aksi ranjang antara pelakon wanita dan lelaki dan kedua-duanya diketahui umum sebagai Muslim. Malah para pengarah serta krew-krew yang terlibat majoritinya adalah beragama Islam. Astaghfirullah al-'azim, di manakah kesedaran mereka akan dosa dan pahala? Apakah mereka menganggap dosa dan pahala itu sebagai perkara kedua selepas ganjaran wang ringgit dan populariti?

Ringkasnya, seorang wanita harus mengetahui akan nilai dan kepentingan hak serta maruah mereka lebih-lebih lagi jika bergelar wanita muslim. Islam itu tidak seharusnya digunakan pada nama. Islam itu agama yang indah dan Islam juga merupakan suatu cara hidup yang menjanjikan ketenangan jiwa andai betul caranya. Asas kehidupan muslim adalah perkara utama yang perlu diambil kira kerana setiap sesuatu itu ada permulaannya. Asas keimanan, akidah, akhlak dan muamalat adalah antara perkara yang tidak seharusnya di pandang remeh oleh setiap individu muslim. Asas-asas inilah yang akan membina jati diri mulia dan bernilai tinggi dalam sebuah kehidupan sebagai individu muslim.Wallahualam..
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kalau Rajin Nak Membaca

  • http://www.bharian.com.my/
  • http://www.utusan.com.my/
  • http://www.hmetro.com.my/
  • http://thestar.com.my/
  • http://www.nst.com.my/