28 March, 2012

Penawar Marah



Terdapat pelbagai kaedah untuk menangani kemarahan. Kaedah-kaedah tersebut bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah kaedah untuk mengelakkan kemarahan. Bahagian kedua ialah kaedah untuk meredakan kemarahan dan menghilangkannya.
Kaedah pertama: Mengelakkan Kemarahan
1. Menghiasi diri dengan sifat pemaaf
Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain: "Iaitu orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara Yang baik (Surah Al ‘Imran 3: 134)
Sirah Rasulullah SAW para rasul dan para nabi penuh dengan kisah-kisah kemaafan kepada umat mereka. Walaupun mereka ditentang habis-habisan, dimaki hamun, dicerca dan diancam akan dibunuh mereka tetap memaafkan umat dan berharap umat mereka akan sedar dan menerima hidayah. Sebagi contoh Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud telah luka di muka dan patah giginya, tetapi baginda menolak cadangan supaya memohon diturunkan bala kepada kaum musyrikin. Sebaliknya baginda berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayat kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak memahami”. Kesabaran itulah menjadi sumber ketenangan para rasul dan nabi dalam menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi dalam usaha dakwah mereka.
2. Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Kemarahan
Kita hendaklah mengenali diri kita terlebih dahulu. Apakah yang kita suka dan apakah yang kita benci. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang kita benci agar tidak menimbulkan kemarahan. Sebagai contohnya jika kita tidak suka kepada sesuatu tabiat merokok rakan kita, kita hendaklah menyatakannya dengan penuh hikmah. Apabila rakan kita memahaminya, dia akan cuba menghindari tabiat buruknya apabila bersama kita.
3. Berdoa
Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa marah. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:
Doa pertama:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.
Doa kedua (sebelum dan selepas tidur):
اللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيكَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ
Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui Perkara Yang Gahib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tida Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya.
Doa yang kedua ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.

Kaedah Kedua: Meredakan Kemarahan
Apabila timbul kemarahan dalam diri kita disebabkan faktor-faktor tertentu, kita hendaklah cuba meredakannya. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk meredakan kemarahan ialah:
1. Mengambil wuduk
Sabda Rasulullah SAW:
إن الغضب من الشيطان وإن الشيطان خلق من النار وإنما تطفأ النار بالماء، فإذا غضب أحدكم فليتوضأ[i]
Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Hanya terpadam api itu dengan air. Maka jika kamu merasa marah maka hendaklah kamu berwuduk.
2. Mengubah ke posisi yang lebih rendah
Seseorang yang marah boleh meredakan kemarahannya dengan mengubah posisinya kepada yang lebih rendah. Umpamanya jika dia dalam keadaan berdiri, dia hendaklah duduk, dan jika dia dalam keadaan duduk, dia hendaklah berbaring. Sabda Rasulullah SAW:
إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس، فإن ذهب عنه الغضب، وإلا فليضطجع[ii]
Maksudnya: Jika kamu merasa marah sedangkan kamu sedang berdiri hendaklah kamu duduk, jika kemarahan itu hilang (maka tidak mengapa), jika tidak (juga reda kemarahan itu) maka hendaklah kamu berbaring.
3. Mendiamkan diri
Sabda Rasulullah SAW:
إذا غضب أحدكم فليسكت[iii]
Maksudnya: Jika kamu merasa marah, maka diam (tidak berkata-kata).
Mendiamkan diri adalah penawar yang mujarab kepada kemarahan. Ia akan memberi ruang untuk kita berfikir sejenak dan membuat pertimbangan berdasarkan akal bukan emosi. Jika seseorang itu melahirkan kemarahan dalam kata-kata nista ia akan mengundang padah yang lebih parah. Emosi akan menguasai diri, syaitan akan mencelah dan memainkan peranan yang membawa kepada perseteruan yang berpanjangan.
4. Mengucap Isti’azah (A’uzubillah)
Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika dua lelaki bertengkar di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang yang merah mukanya mencela seorang lagi dengan penuh kemarahan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku akan mengajar kamu satu kalimah yang jika dibacakannya akan hilang kemarahannya, iaitulah bacaan (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).[iv]
Ucapan isti’azah ini hendaklah dilakukan dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah dan memohon bantuannya daripada syaitan dan kuncu-kuncunya. Firman Allah, Maksudnya: Jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui (Surah al-A’raf 7: 200)
Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah untuk membendung perasaan marah. Apabila kurang perasaan marah, jiwa kita akan tenang dan tenteram.

[i] Al-Tabrani, al-Jami’ al-Kabir, jil. 17, hlm. 167.
[ii] Al-Haythami, al-Hafiz Nur al-Din ‘Ali ibn Abi Bakr, 1412H/1992M. Majma’ al-Zawa’id wa manba’ al-Fawa’id, (Beirut: Dar al-Fikr), jil. 7, hlm. 386.
[iii] Al-San'ani, Muhammad ibn Isma'il, 1408H/1988M. Subul al-salam sharh bulugh al-maram, taqdim Muhammad 'Abd al-Qadir Ahmad 'Ata, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah), jil. 4, hlm. 334.
[iv] Al-Bukhari, Sahih al-Bukharikitab al-adab, bab al-hidhr min al-ghadab, jil. 5, hlm. 2267.

Mencari Penawar Duka, Pengubat Sengsara


Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yangbersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?
Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yangmampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan.
Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yangmenjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi.
Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?
Jawapannya ialah taubat dan 'istighfar' iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)..." (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yangjika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.Inilah janjiNya dalam al-Quran.
Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yangkadang-kala mengada-adakan pelbagai doa 'sendirian berhad' mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya.
Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.

Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)"Sehingga aku berkata (kepada mereka):
"Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai" (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini.
Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah 'istighfar'.Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah.
Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya "Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut" –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar.
Firman Allah: "Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar" (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya.
Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya.
Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah.

Firman Allah: "(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)". (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yangAllah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka.
Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya 'berlagu' di mulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn 'Abd al-Hadi, al-'Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.
Ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin(sertai facebook DrMAZA.com) dan dipetik daripada http://drmaza.com

Mengubati Hati Yang terluka


Pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ada ketikanya, hati kita terluka kerana disakiti oleh orang lain atau suasana.
Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubathati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri anda, namun berikut adalah cara yangsering dikongsia oleh pakar.
1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja anda sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu.
Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin, kasi kosong abis! Bulatkan azam untuk fokus kepada masa depan anda, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan. Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.
2. Buang Sikap Risau
Ada dua kesan dari sikap risau ni, pertama ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah - tanpa anda pinta.
Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental.
Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.
3. Belajar Rajin Bersyukur
Ucap syukur atas kesemua yang anda ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana Anda masih ada 5 deria yang lengkap; anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur, anda ada kawan rapat yang memahami anda dan anda mempunya handphone kesayangan anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.
4. Belajar Menjadi Pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu. Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda serta menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari "funny side" dalam setiap situasi; agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa layan kecewa sedangkan anda boleh ketawa? Come on...
6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan.
Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.
Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang.
Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apayang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh tarik semua yangbaik-baik?
Fikir yang buruk, Anda dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat.
7. Hati Mesti 'Keras'
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan anda di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya.
Cuba ingat balik kejahatan kecil yang anda lakukan pada orang lain, mungkin ada walau anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya.
Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri.
Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk Anda.
Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yangmungkin dari hari yang sebelumnya.
Artikel iluvislam.com/terima kasih sudi berkongsi...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kalau Rajin Nak Membaca

  • http://www.bharian.com.my/
  • http://www.utusan.com.my/
  • http://www.hmetro.com.my/
  • http://thestar.com.my/
  • http://www.nst.com.my/