Kami membesar bersama-sama. Seusia beberapa tahun, sepupuku ini, yang juga merupakan saudara/kakak kembar kepada sepupuku...Rohani binti Mansor, telah kehilangan ayah tercinta. Ayah mereka yang aku dan keluarga kenali sebagai Pak Long, kalau tidak silap, meninggal ketika usiaku baru menginjak 8 tahun. Bermakna kedua sepupu kembarku itu telah bergelar anak yatim sekitar usia mereka 10 tahun. Kehilangan Pak Long, lebih merapatkan kami, kerana ibuku memang mengambil berat tentang mereka sekeluarga. Apatah lagi sepupuku ini, sama usianya dengan kakakku Fazilah. Manakala abang mereka pula, sama usianya dengan kakakku...yang ku panggil Kak Chik.
Sepupuku ini, yang kami panggil Ana, memang amat bertanggungjawab orangnya. Setelah tamat pengajian di Tingkatan enam, Ana menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim. Seterusnya menjadi guru sehingga ke akhir hayat beliau. Ana berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga...Fuad, yang ana panggil Fad...Dikurniai dengan dua cahaya mata yang cantik dan comel...Anis dan Farhan...Tak dapat ku bayangkan kesedihan anak-anak kecil ini. Rupanya, mereka juga mengikut jejak langkah ibu mereka yang menjadi yatim pada usia yang masih lagi muda. Namun aku tahu, Allah SWT lebih menyayangi Ana.
Bagiku sendiri, banyak kisah suka dan duka aku bersama sepupuku ini. Dari bermain pondok-pondok di hutan nipah, sehinggallah mencari siput mentarang di lautan ketika masih kecil. Tiada rasa malu diantara kami. Bercerita luar dan dalam...kerana kami...aku, kakakku Kak Ilah, Ana dan adiknya Ani...memang amat rapat. Aku juga pernah mengalami peristiwa kemalangan jalanraya dengan Ana. Kenangan yang tidak dapat untuk kulupakan. Segalanya semua itu, kini hanya tinggal memori yang akan kukenang sehingga ke akhir hayat.
Cuma satu rasa terkilanku. Kali terakhir aku bertemu Ana, hanyalah pada bulan 12 tahun 2009 lepas, ketika majlis perkahwinan anak saudara ku. Waktu itu aku sempat bertanya khabar dengan Ana. Dan pada hujung bulan empat lalu, aku sempat balik ke kampung. Di mulutku tidak pernah lekang dari menyebut perkataan hendak menziarahi Ana kalau aku balik ke kampung. Tapi, takdir Allah menentukan segalanya. Aku menjadi berat hati untuk melawat Ana. Sehinggallah saat aku berangkat balik ke ibu kota. Dan akhirnya, penyesalan ini, aku menanggungnya. Namun ketahuilah, aku sentiasa mengingati Ana walau aku tak sempat menziarahinya. Aku tak sanggup sebenarnya untuk melihat penderitaan Ana.
Ana, benarlah, kanser itu menjadi barah dalam keluarga kita. Sepupu kita, Rahim juga meninggal kerana kanser darah. Dan kini, Ana menjadi legasi yang tidak dapat dibanggakan oleh semua hambaNya. Namun, Allah SWT menguji kita kerana kasih-sayangNya.
No comments:
Post a Comment